- Advertisement -

Boleh dikatakan titik tolak kepada kerjaya Rostam Affandi bermula daripada satu perbalahan kecil dengan isterinya. Ketika baru berpindah ke rumah baru, dia berasa bingung apabila si isteri berhasrat untuk mengisi ruang kosong laman kediaman mereka dengan pepohon heliconia. “Dahlah daunnya pecah-pecah. Bunga dan daunnya pun layu dalam masa dua minggu!” ujarnya.

  Namun, si isteri enggan mengubah fikiran. Disebabkan terpaksa hidup bersama pepohon heliconia itu, maka pada suatu hari, dia mula meneliti bunga tersebut dengan lebih dekat. Akhirnya, dia sedar akan keindahan tersendiri bunga-bunga itu.

  Hati kecilnya terdetik. “Memandangkan jangka hayat pepohon heliconia ini begitu singkat, bukankah lebih baik jika saya menterjemahkan keindahannya ke dalam bentuk hasil seni yang lebih tahan lama?”

  Daripada bidang kejuruteraan awam dan pertukangan kayu; maka, bermulalah kerjaya barunya dalam seni ukiran kayu.

- Advertisement -

  Berbekalkan sejarah peribadi yang unik, hakikatnya Rostam merupakan satu-satunya dikalangan keluarga beliau yang menceburi bidang pertukangan kayu, biarpun tanpa sebarang pendedahan awal. Selain segulung Diploma dalam Kejuruteraan Awam, dia tidak pernah menerima sebarang latihan formal dalam bidang berkenaan walaupun minatnya terhadap subjek seni telah berputik sejak awal zaman persekolahan lagi.

  Peluang untuk berkarya secara kreatif terbuka apabila Rostam berkahwin dan berpindah ke rumah sendiri. Pada saat itulah, hatinya terdetik untuk menghasilkan perabot sendiri.

  Rostam mula berkawan dengan para pengusaha perabot tempatan, sebelum cuba bereksperimentasi sendiri di rumah. Bermula dengan beberapa produk kecil seperti rak kasut, senarai perabotnya berkembang pula kepada kabinet dapur. Malah, dia juga mula menjual sebahagian daripada hasil kerja tangannya.

  Enam tahun kemudian, Rostam mengambil keputusan untuk berhenti daripada terus berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan. Maka, tertubuhlah Qistina, syarikat peribadi yang dinamakan sempena anak bongsunya. Pada awal penubuhan kedainya, dia gembira dengan kerjaya baru yang dibina. Malangnya, krisis ekonomi yang melanda bagaimanapun mengakibatkan perniagaannya gulung tikar tidak lama kemudian.

  Namun, perpindahan ke kediaman baru mereka telah memberi sinar harapan kepadanya apabila isteri Rostam mula menanam pepohon heliconia di sekitar halaman rumah. Kawasan belakang rumahnya bertukar menjadi sebuah bengkel.

  Bagaikan satu kebetulan, kawasan belakang rumahnya yang menghadap sebuah padang telah mendedahkannya kepada keindahan panorama bunga-bungaan dan pokok, sekali gus menjadi sumber inspirasi ketika dia berkarya.

  Produk-produknya terdiri daripada dua kategori utama. Karya-karya bersaiz besar seperti plak perhiasan yang menarik perhatian saya serta mampu mencecah harga RM1,000. Sementara karya-karya perhiasan yang lebih praktikal pula dibentuk dan disuntik dengan elemen-elemen semula jadi, misalnya, sebuah dulang unik berbentuk ikan arowana.

  Banyak menggunakan kayu cengal dan balau dalam seni ukirannya, Rostam bagaimanapun lebih suka berkarya dengan kayu cengal. Biarpun lebih mahal, kayu cengal dikatakan lebih tahan lasak untuk kerja-kerja ukiran kayu. Bijak mencari peluang untuk memasarkan hasil karyanya, Rostam mula menyertai pelbagai pameran anjuran Kraftangan Malaysia secara aktif. Malah, sebahagian daripada hasil karyanya kini turut menghiasi kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi!

  Jika diamati secara dekat, seni ukiran Rostam sememangnya menonjol dari segi permukaannya yang tidak sekata. “Alunan seakan-akan sisik atau sulam biku digores pada permukaan kayu dengan teknik ‘mengambil aiskrim’ (ice-cream scooping) yang berasal daripada masyarakat kuno Nusantara.

  “Teknik ini sudah lama tidak digunakan sejak ia diganti oleh seni ukiran kayu tradisional yang lebih terkenal dengan kehalusan kesan ukirannya, permukaan yang licin dan corak-corak ukiran yang lebih bermakna.”

  Rostam menggelar gaya ukirannya sebagai neo-tradisional. Menawarkan gabungan dua gaya ukiran – ‘tebuk dan tembus’ serta teknik ‘mengambil aiskrim’ daripada masyarakat Nusantara kuno, hasil kerja Rostam tampil cantik dan unik dari segi teksturnya. Teknik ‘tebuk dan tembus’ cukup sinonim dengan seni ukiran kayu masyarakat Melayu tradisional.

  Walaupun teknik ‘mengambil aiskrim’ itu memberi kesan permukaan yang tidak sekata, ia turut menawarkan keunikan tersendiri. Jelasnya, “Apabila anda menyentuh sesuatu yang bertekstur, ia akan melahirkan perspektif berbeza.”

  Sambil ketawa, Rostam memberitahu, berbeza dengan ukiran kayu tradisional yang sering membawa makna tersendiri, hasil karya berunsur neo-tradisional pula bersifat “anda dapat apa yang anda lihat”. Daun ialah daun dan tiada apa-apa makna yang tersirat. Cuma, ia lahir daripada luahan minda si pengukirnya.

  Tidak seperti kebanyakan urusan perniagaan tipikal yang melibatkan kelompok pengeluar dan pereka, Rostam bagaimanapun tidak bergantung kepada komisen. Pada awal kerjayanya dalam bidang ini, dia seperti kebanyakan rakan seangkatan yang bergantung kepada sumber kerja berkomisen.

  Keperluan untuk memenuhi struktur kerja artistik pelanggan bagaimanapun tidak mampu mengisi kepuasan hatinya. Lalu, dia mengambil keputusan untuk menghasilkan hasil kraftangannya terlebih dahulu sebelum beralih kepada aspek pemasaran. Secara jujurnya dia mengakui bahawa ia memang berisiko. “Tetapi dari aspek seni, ia memberi saya lebih kepuasan. Perasaannya amat berbeza jika anda melakukan sesuatu mengikut arahan orang lain berbanding apa yang dihasilkan daripada imaginasi serta naluri sendiri.”

  Pendekatan ukiran neo-tradisional yang dipilihnya turut memberi peluang kepada Rostam untuk terus bereksperimentasi serta berkarya secara kreatif. “Kalau saya mengaku diri ini pengikut elemen tradisional, maka saya perlu menghormati cara-cara lama . Apabila saya meletakkan diri dalam kategori neo-tradisional, saya bebas berkarya secara kreatif dan meluahkan imaginasi.”

  Perspektif tentang kebebasan berkarya secara kreatif turut memberi kesan kepada beberapa ekperimen menarik yang sebahagiannya dapat dilihat di rumahnya. Di kediaman itulah, sebahagian daripada hasil karyanya turut dipamerkan.

  Antara hasil karya yang menarik perhatian termasuklah pintu pagar kayu cengal dan sarang burung kayu yang tergantung di berandah rumahnya. Sebuah plak bermotifkan sembilan ekor ikan koi gaya Cina-Inggeris yang baru disiapkan nyata menonjol dengan warna-warna akrilik. Jelas sekali, hasil karya seumpama ini tidak akan dilihat pada mana-mana produk ukiran kayu Melayu tradisional.

  “Anda lebih rela jual yang mana?” tanya saya dengan selamba.

  “Karya ikan koi terkini. Macam yang itu,” jawabnya ringkas. Jawapannya agak mengejutkan saya. Hasil karya terawal dan terkininya jelas menunjukkan perbezaan yang amat ketara. Produk awal lebih ringkas iaitu sekeping kayu bermotifkan bunga heliconia yang diukir dengan seni tebukan. Manakala produk terkini pula tampil lebih rumit. Bukankah ia lebih bernilai? Saya berfikir sendiri.

  Maksud Rostam bertambah jelas selepas mendengar penjelasannya. “Saya tidak akan menjual hasil-hasil karya terawal. Sebab semuanya tersimpan kisah permulaan kerjaya saya ini.”

 

  Rostam sememangnya seorang artis sejati.