Ingin bebaskan diri daripada hiruk-pikuk bandar? Nikmati kehidupan desa Melayu asli di Homestay Kampung Lonek
Tiupan angin membelai lembut helaian rambut ini. Walaupun keadaan tersebut agak janggal, saya sebenarnya tidak pernah segembira ini. Punggung ini melabuh tepat di atas sehelai pelepah pinang kering sebesar penadah sampah. Kedua-dua tangan pula memegang erat sisi pelepah. Tidak lama kemudian, pasangan saya, seorang jejaka Melayu yang bertubuh gempal mula menarik dahan tersebut menuju ke arah tiang gol.
Saya mengambil bahagian dalam aktiviti tarik upih, satu permainan unik yang melibatkan dua orang peserta. Seorang duduk di atas pelepah pinang. Sementara seorang lagi menjadi tukang tarik. Ia merupakan antara permainan tradisional yang saya pelajari dalam program homestay di Kampung Lonek baru-baru ini. Terletak di daerah Jempol, kampung ini adalah salah satu daripada lebih 150 kampung yang mengambil bahagian dalam program homestay di Malaysia. Diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan sebagai sumber penjana ekonomi alternatif, ia turut menawarkan pelbagai pengalaman berbeza kepada para pengunjung – bermain permainan tradisional, menghasilkan bunga daripada daun pokok getah atau menuai padi. Daripada sejumlah calon lain, Kampung Lonek yang kini memiliki 32 pengusaha homestay telah dipilih kerana mempunyai ciri-ciri sejarah dan budaya tersendiri.
Kehadiran saya di pusat komuniti Kampung Lonek disambut mesra oleh tuan rumah, Hajah Badariah Ahmad. Bekas guru Matematik yang kini mengetuai program homestay tersebut. Terletak bersebelahan pusat komuniti, terbina sebuah rumah sederhana besar, hasil gabungan batu-bata dan kayu. Ia dilengkapi bilik-bilik tidur dengan bilik mandi peribadi. Di luar jangkaan saya, kediaman ini juga menawarkan kemudahan jalur lebar tanpa wayar. Sepuluh daripada semua pengusaha homestay di sana juga mempunyai kemudahan wifi. “Ketika mendaftar sebagai pengusaha homestay, anda perlu memastikan bahawa para tetamu berasa selesa. Keluarga tuan rumah juga perlu menghadiri sesi latihan yang meliputi aspek layanan baik, penyediaan makanan dan penginapan,” ujarnya.
Semua kemudahan yang disediakan agak moden. Namun, rumah-rumahnya tetap mengekalkan susun atur dan ciri-ciri sebuah rumah kampung tradisional. Kediaman tersebut, gabungan batu-bata dan kayu, yang didiami oleh sekitar 600 penghuni lazimnya dicat dengan warna-warna cerah serta dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan subur. Kampung Lonek asalnya adalah sebuah komuniti yang berasaskan aktiviti pertanian. Meskipun aktiviti menoreh getah dan menanam padi masih menjadi sumber ekonomi utama bagi kebanyakan penghuninya, golongan tua di sana lebih selesa menguruskan pelbagai tanaman di kediaman mereka. Buktinya, pokok-pokok buah dan sayur-sayuran tumbuh subur di sekeliling rumah mereka. Seronok rasanya dapat menghabiskan masa sepanjang pagi berkunjung dari satu rumah ke rumah seterusnya untuk mencuba buah kedondong, rambutan dan mempelam serta pelbagai buah tropika lain yang beria-ia dikongsi oleh setiap tuan rumah kepada orang asing seperti saya.
Biarpun saya seronok dapat beramah mesra dengan jiran tetangga, saya juga tidak ingin terlepas peluang menyertai pelbagai aktiviti yang bakal disajikan untuk para tetamu. Puan Badariah dan pembantu-pembantunya telah mengambil masa berminggu-minggu merancangnya. Aktiviti pertama pada hari tersebut bermula dengan satu siri persembahan demo yang berlangsung di halaman belakang bangunan koperasi. Walaupun ia cuma satu persembahan terancang, ia jauh lebih seronok dan menghiburkan daripada jangkaan saya. Saya langsung tidak pernah tahu bahawa proses pembuatan emping padi (bertih beras – sejenis snek kecil dan nipis serta mudah diperoleh di pasar raya) misalnya, menjadi saluran untuk anak-anak dara dan teruna bergaul pada zaman dahulu, biarpun di bawah pengawasan orang dewasa. Sedang si dara sibuk menjaga masakan beras di dalam kuali panas, si teruna pula melakukan proses lebih lasak dengan menumbuk bertih beras menggunakan lesung kaki yang berat. Saya juga turut serta dalam aktiviti membuat dodol (sejenis manisan melekit seakan-akan tofi) dan menoreh getah. Semua aktiviti disediakan khas mengikut minat pelawat serta bergantung kepada musim. Pada waktu ini, padi baru sahaja ditanam. Jadi, saya tidak berkesempatan untuk menyaksikan sendiri cara penanamannya. Selesai makan malam, suasana hening di Kampung Lonek bertukar meriah dengan aneka lagu dan tarian tradisional yang dihiburkan oleh penduduk-penduduk tempatan untuk para tetamu.
Keesokan paginya, saya dikejutkan dengan keindahan sinar mentari yang terbit berlatarkan petak-petak jelapang padi. Melihat keadaan cuaca yang baik, anak dara Puan Badariah, Hidayah mengambil keputusan untuk membawa saya melawat beberapa pengusaha industri kecil-kecilan yang beroperasi dari rumah masing-masing. Kami singgah di rumah Puan Munah, yang menghasilkan kuntuman bunga daripada dedaun pokok getah. Daun akan direndam dalam air terlebih dahulu selama sebulan untuk menyingkirkan klorofil dan yang tinggal hanyalah kerangka daun. Sejujurnya, saya cukup kagum melihat kepantasan jari-jemari Puan Munah mengulung dedaun itu menjadi kuntuman bunga ros seakan-akan bunga sebenar. Beliau juga menghasilkan pasu-pasu bunga dan objek perhiasan lain yang cantik dengan suratkhabar lama. Tiba-tiba hati kecil saya terdetik, betapa bagusnya ilmu yang diperolehi daripada penduduk kampung ini untuk menyedarkan golongan muda dan mentah seperti kami tentang selok-belok kitar semula.
Hati ini teringin untuk singgah lebih lama. Namun, saya teringat pula pada ajakan Puan Badariah untuk belajar masakan Negeri Sembilan dengannya. Pada saat-saat akhir itu, perhatian saya beralih kepada riuh-rendah sekumpulan anak muda yang menjadikan sebuah padang sebagai tapak permainan. Andainya ada yang menganggap penduduk kampung sebagai biasa-biasa sahaja, jelas sekali mereka tidak pernah mencuba permainan kelereng. Permainan yang mengasyikkan ini memerlukan anda menggerakkan satu tayar atau rim basikal dengan sebatang kayu. Digelar F1 Kampung Lonek oleh penduduk setempat, permainan ini menguji kemahiran motor halus yang melibatkan koordinasi mata dan tangan serta keupayaan untuk bertindak secara strategik.
Setibanya di rumah, badan saya terasa penat dan dibasahi peluh. Puan Badariah pula sibuk menyediakan sambal belacan. Hasil gabungan pes udang dan cili, sajian sampingan ini enak dimakan bersama ulam – pucuk-pucuk tumbuhan tempatan yang telah dicelur atau dipetik segar dari kebunnya. Sajian ikan tenggiri masak lemak cili api telah pun siap. Masakan yang ingin saya pelajari ini merupakan hidangan popular Negeri Sembilan. Aroma kuah kuning pekat bersantan yang pedas dimasak bersama cili api itu cukup membuatkan saya kecur air liur.
Sebagai sebuah komuniti yang rapat, sudah menjadi kelaziman untuk seluruh penduduk kampung berkumpul dan makan bersama-sama. Kami meletakkan hidangan di atas tikar dan makan secara beradat. Menurut Puan Badariah, tradisi itu dikenali sebagai ‘berjamba’. Saya cuba mendengar nasihat Hidayah untuk makan menggunakan tangan. Benar sekali, makanan rasa lebih enak dijamah begitu. Saat menikmati hidangan tengah hari itu, saya mendapat tahu bekas graduan jurusan perakaunan yang pernah bekerja di bandar telah memutuskan untuk kembali meringankan beban ibunya di homestay secara sepenuh masa.
“Saya rindukan kehidupan di kampung. Tiada yang lebih seronok berbanding peluang untuk merasai kehidupan bermasyarakat yang mesra dan saling mempercayai,” ujarnya dengan penuh makna.
Biarpun hanya sempat merasai kehidupan kampung yang mempesonakan itu selama beberapa hari, saya faham akan perasaan Hidayah.
Discover
Directories
Homestay Kampung Lonek
12C Kampung Lonek, 72200 Batu Kikir, Negeri Sembilan
Madam Badariah Ahmad : 6019 2871410 |
|